
Sepanyol 1 Jerman 0
SEPANYOL menamatkan penantian 44 tahun untuk muncul juara Piala Eropah apabila menewaskan Jerman 1-0 menerusi gol tunggal Fernando Torres dalam perlawanan akhir Euro 2008 di Stadium Ernts Happel, Vienna pagi ini.
Torres yang digantikan dengan Daniel Guiza pada minit ke-78 menyumbat gol kemenangan Sepanyol pada minit ke-33 selepas menerima hantaran Xavi Hernandez dari kawasan tengah.
Sekalipun cuba dihalang Philipp Lahm, penyerang Liverpool itu lebih pantas mengungkit bola melepasi kawalan Jens Lehmann.
Sekalipun hanya mampu menjaringkan satu gol, Sepanyol wajar memenangi perlawanan itu selepas lebih banyak mencipta peluang berbanding Jerman.
Berdasarkan statistik Uefa, Sepanyol membuat 12 percubaan berbanding Jerman hanya tiga percubaan.
Kejayaan memenangi Euro 2008 adalah kali kedua bagi Sepanyol selepas menjuarainya pada kejohanan edisi kedua pada 1964.




















