
Liga Serie A Itali
Inter Milan 1 Lecce 0
PERCATURAN strategi Jose Mourinho menyaksikan Inter Milan kekal selaku pendahulu Liga Serie A Itali selepas kemenangan tipis 1-0 ke atas Lecce di San Siro awal pagi tadi.
Mourinho membawa masuk Julio Cruz menggantikan Cristian Chivu pada minit ke-72 dan pemain Argentina itu tidak menunggu lama untuk membalas kepercayaan bosnya apabila menyumbat gol tunggal perlawanan lapan minit kemudian.
Kemenangan itu membolehkan Inter terus kekal mendahului carta Serie A dengan mengutip 10 mata selepas pesaing terdekatnya, Juventus terikat 1-1 dengan Catania.
Keputusan seri itu menyebabkan Juventus turun ke tangga kelima liga.
Dalam pada itu AC Milan mula menemui rentak kemenangan setelah berjaya mengatasi Reggina 2-1.
Penyerang muda Brazil, Alexandre Pato menjaringkan gol kemenangan Milan pada minit ke-73 setelah kedudukan terikat 1-1 sebelum itu . (Keputusan penuh Serie A)




















