
Piala Carling
Arsenal 6 Sheffield United 0
PENYERANG muda Mexico, Carlos vela menjadi wira ketika skuad simpanan Arsenal membelasah Sheffield United 6-0 dalam aksi pusingan ketiga Piala Liga Inggeris (Piala Carling) di Stadium Emirates, awal pagi tadi.
Kecuali Nicklas Bendtner dan penjaga gol, Lukasz Fabianski yang lebih berpengalaman, Pengurus Arsenal, Arsene Wenger menurunkan sembilan pemain mudanya dalam kesebelasan utama bagi menghadapi kelab dari Liga Kejuaraan itu.
Bagaimanapun ia tidak memberi masalah besar buat skuad juniornya itu untuk mengawal perlawanan berkenaan.
Bendtner menjaringkan dua gol berturut-turut pada minit ke-31 dan 42 sebelum jaringan dari jarak dekat oleh Vela dua minit kemudian membolehkan The Gunners mendahului 3-0 pada babak pertama.
Lima minit selepas babak kedua bersambung Vela sekali lagi berjaya memperdaya penjaga gol Sheffield, Patrick Kenny untuk gol keempat tuan rumah.
Tujuh minit kemudian, pemain yang baru berusia 16 tahun, Jack Wilshere menjadikan kedudukan 5-0 sebelum Vela melengkapkan jaringan hatriknya pada minit ke-87.
Pada musim lalu, Arsenal menewaskan Sheffield United 3-0 pada pusingan keempat sebelum terkandas di peringkat separuh akhir kepada Tottenham Hotspurs dengan aggregat 6-2.
Spurs akhirnya menjuarai kejohanan ini menerusi kemenangan 2-1 ke atas Chelsea pada perlawanan akhir yang disaksikan lebih 87,000 penonton di Stadium Wembley. (Keputusan penuh pusingan ketiga Piala Carling)

Arsenal: Lukasz Fabianski, Gavin Hoyte, Johan Djourou, Merida Perez (Francis Coquelin 71′), Jack Wilshere, Alexandre Song Billong (Henri Lansbury 70′), Kieran Gibbs, Mark Randall, Aaron Ramsey, Nicklas Bendtner (Jay Simpson 71′), Carlos Vela.
Sheffield: Patrick Kenny, reg Halford, Chris Morgan, Matthew Kilgallon, Gary Naysmith, Gary Speed (Lee Hendrie 73′), Stephen Quinn, Nick Montgomery, David Cotterill (Kyle Naughton 46′), James Beattie (Jordan Robertson 76′), Danny Webber.




















