Turut cipta rekod 12 perlawanan tanpa kalah dalam dua temasya Olimpik
ARGENTINA berjaya membalas dendam kekalahan kepada Nigeria pada temasya olimpik 1996 di Atalanta selepas menundukkan wakil Afrika itu 1-0 dalam perlawanan akhir bola sepak di Beijing semalam.
Ia juga kejayaan merangkul pingat emas buat kali kedua berturut-turut buat Argentina selepas muncul juara di Sukan Olimpik Athens empat tahun lalu.
Bintang muda Argentina, Lionel Messi muncul wira pasukannya selepas berjaya menembusi kekangan pertahanan Nigeria sebelum menghantar bola kepada Angel Di Maria yang menjaringkan gol pada awal babak kedua.
Pemain Benfica, Di Maria menewaskan penjaga gol Nigeria, Ambruse Vanzekin untuk gol kemenangan juara bertahan itu pada minit ke-58.

“Ia adalah kejayaan yang saya impikan. Apa yang saya mampu fikirkan sekarang ialah hanya berterima kasih kepada tuhan kerana menghadiahkan saya pingat emas,” kata Di Maria.
Pada temasya empat tahun lalu Argentina juga menang 1-0 ke atas Paraguay untuk merangkul pingat emas pertama mereka dalam acara bola sepak Sukan Olimpik.
Skuad Amerika Selatan itu belum tewas dalam 12 perlawanan berturut-turut sepanjang dua temasya Olimpik yang juga satu rekod baru dalam bola sepak.
Sementara itu jurulatih Nigeria, Samson Siasia agak kecewa kerana mereka gagal mengulangi kejayaan ketika memenangi emas pada temasya di Atalanta 1996.
Ketika itu mereka muncul juara Olimpik pertama daripada benua Afrika Selatan setelah menewaskan Argentina 3-2.
“Messi bukan saja memberi masalah kepada pasukan kami, malah juga semua pasukan di Eropah. Dia memang tidak menjaringkan gol, tapi dia mencipta banyak peluang.




















